Terapi pasir adalah satu alternatif di dalam kaunseling.Terdapat tiga fasa utama bagi sandplay therapy adalah fasa sebelum, semasa dan selepas sesi dijalankan.
Fasa sebelum sesi
Perlaksanaan sandplay terapi memerlukan persediaan oleh kaunselor. penyediaan bilik yang sesuai dan kondusif untuk aktiviti, persediaan peralatan sandplay dan persediaan kaunselor itu sendiri.Malek ( 2007) menjelaskan bahawa bilik bimbingan dan kaunseling adalah nadi atau pusat operasi utama perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dan bilik yang efektif serta berfungsi dengan baik adalah lambang dan manifestasi keberkesanan bimbingan dan kaunseling. Bagi pelaksanaan sandplay, persekitaran bilik adalah amat penting dalam membenarkan kebebasan perluahan perasaan. Ini bersesuaian dengan konsep utama sandplay yang dipelopori oleh Dora Kalff yang menekankan ruang yang bebas dan selamat.
Peralatan utama untuk terapi ini adalah dulang yang berukuran 75cm x 55cm x 20 cm yang berisi pasir.Pemilihan pasir samada pasir pantai atau sungai yang mempunyai kedalaman 15cm di dalam dulang. Menurut Mark( 2001) , jenis pasir yang biasa digunakan adalah “ silver sand” yang biasanya diperolehi dari pembekal landskap.Selain itu, simbol atau miniatur seperti ikan, kerang, bangunan, batu, peralatan rumah,binatang, manusia dewasa, kanak-kanak, pokok, jambatan, perhiasan dan kenderaaan adalah elemen lain yang diperlukan.Kesemua alat ini disusun di atas rak dengan kemas bagi memudahkan klien untuk memilih objek yang disukainya.Mangkuk kecil juga diperlukan bagi klien yang ingin membentuk kolam atau sungai. Berus dan tuala adalah peralatan yang perlu bagi klien yang ingin membersihkan peralatan dan tangan mereka.Selain itu, jug dan penyembur air diperlukan untuk melembabkan pasir yang telah dibina. Adalah lebih baik juga jika dapat digabungkan alunan muzik yang lembut dan relaksasi dapat membantu klien untuk luahan perasaan.
Pemilihan ahli yang sesuai dan mempunyai matlamat yang sama membolehkan sesi dijalankan dengan lebih baik. Kaunselor perlu menjelaskan tentang sandplay therapy kepada ahli kelompok.Pengamal sandplay adalah terlatih dan kebiasaannya mempunyai kemahiran di dalam terapi permainan dan lukisan. Ini adalah kerana sandplay therapy adalah terapi berbentuk dinamik dan ekspresif psikoterapi yang membolehkan klien untuk mendedahkan dalaman mereka melalui simbol dan metafor. Sandplay adalah humanistik di mana ia menekankan hubungan terapeutik yang mendalam memberi tumpuan kepada here and now.Seperti bermain, sandplay memberikan pengalaman yang aktif, bukan lisan, tidak langsung, dan simbolik.
Rajah 1:Contoh bilik untuk Sandplay Therapy
Fasa semasa
Kehadiran kaunselor semasa sesi perlulah efektif. Kaunselor perlulah aktif, mendengar dengan baik dan memberikan tumpuan.Kesenyapan kadangkala berkesan semasa klien sedang menyusun objek di dalam dulang pasir. Biasanya klien akan bermain dengan pasir dengan membentuk landskap yang diingini, diikuti dengan simbol. Cara susunan mainan bergantung pada apa yang difikirkan mereka ketika itu. Kebiasaannya, mereka lebih selesa memulakan sesi terapi pasir dengan mencipta pasir pelbagai bentuk seperti corak geometri, lurah, gunung, sungai dan garis-garis kecil. Seperti bermain pasir di pantai,kanak-kanak bermain dengan pasir sambil menyusun objek, menambah bilangan mainan sekiranya perlu, mengerakkan tangan dan membentuk apa jua yang dirasainya di atas pasir.Pada peringkat ini, gambaran boleh dilihat.Kaunselor atau ahli yang lain boleh mengajukan soalan atau klien sendiri bercerita mengenai gambaran yang cuba dibuat.
Di dalam kaunseling kelompok, setiap ahli mempunyai peranan untuk melengkapkan landskap yang dihasilkan bersama. Sebagai contoh; jika kelompok kumpulan yang mempunyai masalah dari segi pergaulan sosial,mereka boleh diberikan kebebasan untuk memilih simbol perlambangan diri mereka berdasarkan miniatur yang telah disediakan. Bagi kanak-kanak pula, kaunselor boleh juga menentukan tema sebagai contoh; “persahabatan”.Kaunselor seterusnya boleh menggunakan soalan terbuka seperti: “Apa yang kamu ciptakan di dalam dulang ini?” atau : “Beritahu saya tentang singa, ular atau kuda di dalam dunia kamu ini?”.Ahli terapi atau kaunselor juga boleh bertanyakan tentang figura tertentu yang digunakan oleh ahli kelompok sebagai topik perbincangan.Mark(2001) berpendapat, salah satu kebaikan sandplay therapy bagi kumpulan adalah penerokaan terhadap sumbangan ahli kepada kumpulannya.
Rajah 2:Contoh Hasil Sandplay
Maklumat mengenai sandplay boleh dilayari melalui laman berikut:
Cara pelaksanaan sandplay: http://www.youtube.com/watch?v=ydG6Ynzrp2Y
Cara pelaksanaan sandplay: http://www.youtube.com/watch?v=IloDk2c3VWc&feature=related
Peralatan sandplay: http://www.youtube.com/watch?v=N6ModjiHBWU&feature=related
Latihan sandplay: http://www.sandtraytherapyinstitute.com/sandtray-therapy-video-training/
Selepas Terapi.
Kaunselor berperanan untuk membuat kesimpulan dengan melihat kepada hasil sandplay.Penilaian hasil dulang pasir adalah bergantung kepada kaunselor yang telah terlatih. Kathryn dan David G ( 2008), berpendapat bahawa objek kecil seperti binatang bagi kanak-kanak biasanya menggambarkan persepsi kanak-kanak terhadap keluarganya serta masalah yang berkaitan dengan perhubungan dan pergaulan. Lokasi dan susunan objek juga memberi gambaran tentang corak perhubungan.Untuk setiap sesi terapi juga, kaunselor perlu mengambil gambar hasil dulang tersebut bagi memudahkan proses interpretasi.